Isnin, 9 Mei 2016

ANTOLOGI BAIK BUDI, INDAH BAHASA TINGKATAN 2 : PUISI MODEN SAJAK ROTI

ASSALAMMUALAIKUM DAN SELAMAT PETANG


Sajak Roti: Ahmad Syahrul Wahid


Dari cerobong dapur
asap berjelaga berkepul
terkecur liur
harum berbau juadah tersohor.

Perut yang lapar
selera kian meggelepar
menanti roti dibakar
rangup dan segar
terhidang seumpama permaidani terhampar.

Kalau roti di depan mata
nafsu makan pun bergelora
berkeping-keping menggegar selera
perut pun kenyang terasa
tenang bersendawa.




Bagi pemilik iman di dada
sendawa itu tidak sempurna
masih ada beban di bahu mereka
warga miskin belum terbela
masih merintih lapar dahaga.

Bila begitu selamanya
kalimah syukur pun jelas tertera
di hati sanubari warga dunia
melangit damai dirasa
percikan iman segar berwarna.


(Dipetik daripada Sajak Roti Antologi Baik
Budi Indah Bahasa,Tingkatan 2,
Dewan Bahasa dan Pustaka)


1.   Maksud sajak


Rangkap
Maksud Sajak
1
Roti yang dibuat di dapur membangkitkan selera. Selera tersebut bangkit kerana baunya yang harum.
2
Perut bertambah lapar kerana menunggu roti siap dibakar.
3
Perut akan menjadi kenyang apabila memakan roti yang telah siap dibakar.
4
Orang yang kaya masih tidak sempurna iman mereka jika tidak memikul tanggungjawab untuk membantu orang yang memerlukan.
5
Jika seseorang itu beriman maka dia harus bersyukur dengan nikmat dan kemewahan yang diperoleh.


2.   Tema

v Kehidupan masyarakat kaya yang tidak lupa membantu masyarakat miskin.

3.   Persoalan
v Persoalan bau roti yang harum apabila dibakar membangkitkan selera.
v Persoalan manusia tidak dapat menahan nafsu makan ketika lapar.
v Persoalan manusia akan makan makanan yang sedap sehingga kenyang dan sendawa.
v Persoalan orang yang beriman tidak akan melupakan orang miskin ketika mereka berasa kenyang.
v Persoalan bersyukur ketika mendapat sesuatu kebaikan.
4.   Bentuk
v Sajak ini terdiri daripada lima rangkap.
v Bilangan baris pada setiap rangkap tidak sama.
Rangkap 1: 4 baris
Rangkap 2: 5 baris
Rangkap 3: 5 baris
Rangkap 4: 5 baris
Rangkap 5: 5 baris
v Jumlah suku kata dalam sajak ini antara 2 hingga 6 patah kata.
v Sajak ini berbentuk bebas.

5.   Unsur Bunyi
v Asonansi.
Contohnya selera kian meggelepar (vokal = a)
v Aliterasi
Contohnya: Bila begitu selamanya (konsonan = b)

6.   Gaya Bahasa
v Hiperbola
Contoh: nafsu makan pun bergelora
v Inversi
Contoh: harum berbau juadah tersohor.
v Metafora
Contoh: percikan iman.
v Simile
Contoh: terhidang seumpama permaidani terhampar.

7.   Nilai dan Pengajaran

Nilai
Pengajaran
Nilai kesabaran
Kita hendaklah bersabar ketika menunggu untuk mendapatkan sesuatu.
Nilai
kesyukuran
Kita mestilah bersyukur dengan nikmat kurniaan tuhan.
Nilai keimanan
Kita haruslah melatih diri agar menjadi orang yang beriman.

ANTOLOGI BAIK BUDI, INDAH BAHASA TINGKATAN 2 : PUISI TRADITIONAL PANTUN ALAM REMAJA

ASSALAMMUALAIKUM DAN SELAMAT PETANG


Pantun Alam Remaja

Elok rupanya kumbang jati,
Dibawa itik pulang petang;
Tidak terkatakan besar hati,
Melihat ibu sudah pulang.

Dibawa itik pulang petang,
Dapat di rumput bilang-bilang;
Melihat ibu sudah pulang,
Hati cemas menjadi hilang.

Ayam kinantan terbang mengekas,
Hinggap di ranting bilang-bilang;
Melihat bonda pulang lekas,
Hatiku besar bukan kepalang.

Kita menari keluar bilik,
Sebarang tari kita tarikan;
Kita menyanyi adik-beradik,
Sebarang nyanyi kita nyanyikan.
  

Hanyut batang berlilit kumpai,
Terdampar di ujung Tanjung Jati;
Bonda pulang bapa pun sampai,
Kita semua berbesar hati.

Ramai orang bersorak-sorak,
Menepuk gendang dengan rebana;
Alang besarnya hati awak,
Mendapat baju dengan celana.

Mahulah kami hendak melapun,
Lapun dibawa orang menjaja;
Jangan marah kami berpantun,
Budak kecil biasa manja.



(Dipetik daripada Pantun Alam Remaja,
 Antologi Baik Budi Indah Bahasa ,
Tingkatan 2,Dewan Bahasa
dan Pustaka)

                                                                                                              


1.   Maksud pantun


Rangkap
Maksud Pantun
1
Anak-anak akan berasa sangat gembira sewaktu menyambut kepulangan ibu ke rumah.
2
Ketakutan dan kerisauan anak-anak sewaktu ketiadaan ibu akan hilang apabila melihat ibu pulang ke rumah.
3
Anak-anak akan berasa sangat gembira jika ibu cepat pulang ke rumah.
4
Adik-beradik menyanyikan sebarang lagu bersama-sama.
5
Kepulangan ayah dan ibu ke rumah merupakan masa yang paling menggembirakan bagi anak-anak.
6
Pemberian atau hadiah daripada ibu bapa membuatkan anak-anak berasa gembira.
7
Ibu bapa tidak sewajarnya memarahi anak-anak yang gemar berpantun kerana anak-anak yang masih kecil biasanya manja.


2.   Tema

v Kegembiraan anak-anak sewaktu menyambut kepulangan ibu bapa mereka ke rumah.

3.   Persoalan
v Persoalan tanggungjawab ibu bapa ialah memberikan kasih sayang dan kebahagiaan kepada anak-anak.
v Persoalan anak-anak akan sentiasa cemas dan risau sewaktu ketiadaan ibu bapa di rumah.
v Persoalan kegembiraan bagi anak-anak adalah sewaktu menyambut kepulangan ibu bapa mereka pulang bekerja.
v Persoalan aktiviti nyanyian bersama-sama ahli keluarga dapat mengeratkan hubungan antara adik-beradik.
v Persoalan pemberian hadiah daripada ibu bapa dapat menggembirakan hati anak-anak.

4.   Bentuk
v Pantun ini terdiri daripada tujuh rangkap.
v Bilangan baris pada setiap rangkap adalah sama.

5.   Unsur Bunyi
v Asonansi.
Contohnya: Tidak terkatakan besar hati (vokal = a)
v Aliterasi
Contohnya: Hanyut batang berlilit kumpai (konsonan = n)

6.   Gaya Bahasa
v Kata ganda
Contoh: adik-beradik
v Penggunaan unsur alam
Contoh: kumbang jati; itik; rumput;
v Peribahasa
Contoh: besar hati
v Repetisi
Contoh: kita 

7.   Nilai dan Pengajaran

Nilai
Pengajaran
Nilai kasih sayang.
Kita mestilah menyayangi anak-anak untuk mendapatkan kebahagiaan keluarga.
Nilai bertanggungjawab.
Kita mestilah bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak.
Nilai baik hati
Kita haruslah bersikap baik hati untuk mengukuhkan ikatan antara anggota keluarga.
Nilai pemaaf
Janganlah kita mengambil hati, sebaliknya perlu saling memaafkan jika berlaku kesilapan sewaktu bergurau senda.
Nilai hormat-menghormati
Kita haruslah menghormati ibu bapa kerana merekalah yang telah menjaga kita hingga dewasa.