Isnin, 3 Oktober 2016

ANTOLOGI BAIK BUDI, INDAH BAHASA TINGKATAN 2 CERPEN:BANJIR DI MATA EMAK

ASSALAMMUALAIKUM DAN SELAMAT MALAM


Cerpen :  Banjir di Mata Emak karya Che Soo Ismail

1.    Sinopsis

Cerita berkisar pada watak "saya" yang hendak menelefon temannya tetapi tersalah tekan nombor telefon rumah Mak Piah. Mak Piah menyangka orang yang membuat panggilan telefon itu ialah anaknya, Nana. Mak Piah memberitahu "Nana" (saya) bahawa dia tidak ada bekalan makanan disebabkan banjir yang melanda kampungnya sudah sampai ke paras dada. Mak Piah berterima kasih kepada "Nana" (saya) kerana menelefon untuk bertanya khabar tentang dirinya. Malangnya, abang Nana yang duduk dekat tidak menjenguk Mak Piah langsung walaupun banjir sedang melanda kampung emaknya itu.

Belum sempat "saya" hendak memberitahu Mak Piah tentang dirinya yang sebenar, talian telefon sudah terputus. Hujan sudah turun empat hari empat malam tanpa henti. "Saya" cuba menelefon Mak Piah sekali lagi tetapi panggilannya tidak dijawab. "Saya" bimbang akan keadaan Mak Piah. Banjir pada kali ini telah meragut dua nyawa. Mengikut cerita Mak Piah tadi, bekalan makanannya sudah habis. Jiran-jirannya sudah berpindah ke pusat pemindahan banjir. Mak Piah tidak mahu pergi ke pusat pemindahan. "Saya" tertanya-tanya sebab Mak Piah tidak mahu berpindah. Anak lelakinya sudah tiga bulan tidak menelefon untuk bertanya khabar, apatah pulang untuk menjenguknya. "Saya" berasa sangat cemas apabila memikirkan perkara yang mungkin berlaku kepada Mak Piah.

"Saya"mendail nombor telefon Mak Piah sekali lagi. Mak Piah menjawab pangilan "saya". Mak Piah meminta "saya" yang disangkakannya Nana agar tidak bimbang tentangnya. Mak Piah sempat berpesan kepada "saya"agar menjaga anak dan suaminya baik-balk.

"Saya" ingin bertemu dengan Mak Piah supaya "saya" dapat melepaskan rindu terhadapnya yang telah kembali kepada Yang Maha Pencipta. Mak Piah merindui anak-anaknya. "Saya" merindui emaknya. "Saya" menemukan alamat Mak Piah di dalam buku panduan telefon. "Saya" pergi ke rumah Mak Piah dengan membawa makanan. Mak Piah menyambut kedatangan "saya" dengan ceria.

Kerja "saya" menjadi senang kerana Mak Piah sangat peramah. Mak Piah memberitahu "saya" bahawa Nubhan, abang Nana takut akan isterinya, manakala Nana pulak takut akan suaminya. "Saya" bertanya kepada Mak Piah tentang sebab dia tidak mahu berpindah ke pusat pemindahan. Mak Piah menyatakan bahawa dia tidak mahu mengganggu mereka di tempat pemindahan itu kerana keadaannya yang kerap membuang air kecil sehinggakan kadang-kadang tidak sempat ke bilik air. "Saya" berjanji akan menemani Mak Piah selagi banjir tidak surut. Mak Piah memeluk "saya" selepas mendengar kata-kata "saya" itu.

"Saya" mengajak Mak Piah makan. Mak Piah bertanya sama ada Nana yang masak dan menyuruh "saya" menghantar makanan itu. "Saya" mengangguk sambil tersenyum. "Saya" terpaksa berbohong dan menanggung dosa hanya kerana hendak melihat Mak Piah berasa bahagia. Selepas makan "saya" menolong Mak Piah mencuci dan menyimpan barang-barang makanan yang "saya bawa ke dalam peti sejuk. "Saya" memohon izin untuk pulang dan berjanji untuk mengunjungi Mak Piah lagi. Mak Piah meminta "saya" menyampaikan salam kepada anaknya, Nana.

Sekembalinya ke rumah, "saya" diserang demam selama lima hari. Setelah sihat, "saya" pergi ke rumah Mak Piah seperti yang dijanjikannya sebelum ini. Apabila "saya" sampai di pekarangan rumah Mak Piah, orang ramai sedang berkumpul. Mak Piah telah meninggal dunia kerana tergelincir jatuh dan kepalanya cedera semasa hendak membersihkan rumahnya selepas banjir. Nana dan Nubhan berasa kesal. Kata Nana, dua hari sebelumnya, Mak Piah bercerita kepada jiran-jiran bahawa Nana telah mengirimkan makanan kepadanya semasa banjir. Mak Piah berasa sangat gembira. Nana menyatakan bahawa dia bukan sahaja tidak pernah mengirimkan apa-apa kepada emaknya malahan dia tidak pernah menelefon emaknya kerana emaknya mengalami masalah pendengaran. Nana mengakui betapa mulia hati emaknya kerana sanggup berbohong kepada masyarakat untuk menjaga maruah dan namanya. Nana berasa sangat menyesal atas perbuatannya terhadap emaknya selama ini.


2.    Tema
Tema cerpen ini ialah kehilangan sesuatu yang bermakna telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupan seseorang.

Perkara tersebut mengundang rindu yang berpanjangan. Mak Piah sangat merindui anak-anaknya yang telah beberapa bulan tidak menghubunginya apatah lagi untuk pulang menjenguknya. Keengganan anak-anaknya pulang menjenguknya merupakan suatu kehilangan bagi dirinya yang mendambakan kasih sayang dan perhatian. "Saya" pula mendambakan kasih sayang daripada seorang emak. Emak "saya" telah kembali kepada Yang Maha Pencipta. "Saya" amat rindu akan emaknya. Pertemuan "saya" dengan Mak Piah menambah kerinduan terhadap emaknya. Nasib yang menimpa Mak Piah meraih simpati "saya" untuk mendekati Mak Piah. Kehadiran Mak Piah membuka peluang untuk "saya" melepaskan rindu terhadap emaknya.

3.    Persoalan
(a) Nasib ibu tua yang tidak mendapat perhatian daripada anak-anak.
Contohnya, Mak Piah terpaksa hidup keseorangan kerana anak-anak jarang-jarang menjenguknya.

(b) Kehilangan kasih sayang akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap jiwa seseorang. Contohnya, "saya" dilamun rindu yang sangat hebat kerana telah kehilangan ibu untuk selama-lamanya.

(b)            Kasih ibu tidak berbelah bagi.
Contohnya, walaupun Nana sudah lama tidak menjenguk emaknya, Mak Piah tetap memuji Nana di hadapan jiran-jirannya.

(c) Menyesal kemudian tiada gunanya.
Contohnya, penyesalan Nana dan abangnya, Nubhan sudah terlambat. Emak mereka telah pergi meninggalkan mereka untuk selama-lamanya.

(d)            Anak-anak yang tidak bertanggungjawab.
Contohnya, Nana dan Nubhan ialah anak-anak yang tidak bertanggungjawab. Mereka membiarkan pasangan masing-masing mempengaruhi mereka untuk tidak mengambil berat terhadap ibu mereka. Mereka lebih mementingkan keluarga mereka dan mengabaikan ibu mereka sendiri.

(e) Perasaan simpati yang wujud dalam diri seseorang.
Contohnya, "saya" sangat simpati terhadap keadaan Mak Piah lalu bersungguh-sungguh mencari rumah Mak Piah dan berjanji untuk menemani Mak Piah sehingga banjir surut.


4.    Plot Binaan

4.1 Plot
(a) Permulaan — Mengisahkan "saya" hendak menelefon temannya, tetapi tersalah menekan nombor telefon lalu panggilannya terus sampai ke rumah Mak Piah. Mak Piah mengadu kepada "saya" yang disangka anak perempuannya, Nana, bahawa orang menjual ikan dan mamak menjual roti sudah tidak masuk ke kampung. Hal ini demikian kerana banjir telah naik ke paras dada. Tanpa sempat "saya" menjelaskan dirinya yang sebenar, Mak Piah sudah memutuskan talian telefonnya.

(b) Perkembangan — "Saya" membuat panggilan telefon kepada Mak Piah tetapi tidak berjawab. "Saya" bimbang akan keselamatan Mak Piah. Hal ini demikian kerana Mak Piah tinggal seorang diri. Jiran-jirannya sudah berpindah ke pusat pemindahan banjir. Akhirnya Mak Piah menjawab panggilan telefon "saya", tetapi sekejap sahaja. "Saya" tidak sempat hendak berbicara lebih panjang. Hati "saya" mula resah memikirkan keadaan Mak Piah dalam suasana banjir di kawasannya telah sampai ke paras dada. Memikirkan nasib Mak Piah mengingatkan dia akan emaknya. Hal ini menambahkan rasa rindu kepada ibunya yang sudah meninggal dunia. Perasaan dan keinginan "saya" hendak berjumpa dengan Mak Piah menjadi begitu kuat. "Saya" mendapatkan alamat rumah Mak Piah daripada buku panduan telefon. "Saya"datang ke rumah Mak Piah dengan membawa makanan. "Saya" terpaksa berbohong di hadapan Mak Piah bahawa makanan yang dibawanya itu merupakan kiriman daripada anak perempuannya, Nana.

(c) Klimaks — Sekembalinya "saya" dari rumah Mak Piah, "saya" telah diserang demam panas selama lima hari. Setelah sembuh, "saya" terus pergi ke rumah Mak Piah seperti yang dijanjikannya sebelum ini. Apabila "saya" sampai di pekarangan rumah Mak Piah, orang ramai sedang berkumpul. Belum sempat "saya" melangkah masuk ke dalam rumah Mak Piah, usungan jenazah telah dibawa keluar. "Saya" mengikut jenazah Mak Piah hingga ke tanah perkuburan.

(d) Peleraian — Nana dan abangnya, Nubhan berasa sangat sedih. Mereka menyesal kerana tidak pulang menjenguk dan membantu emak mereka semasa banjir. Emak mereka meninggal dunia setelah kepalanya cedera kerana terjatuh semasa hendak membersihkan rumah selepas banjir. Setelah tubuh Mak Piah kaku, barulah jenazahnya ditemui jirannya.


4.2 Teknik Plot.

Teknik Plot
Contohnya,
(a) Dialog
• "Orang jual ikan dah tiga hari tak datang. Mamak jual roti pun tak boleh masuk kampung. Mak tak ada makanan. Banjir dah sampaii ke paras dada ..." [hlm. 51]
(b) Pemerian.
• Suara tua yang tadinya berbicara tanpa memberi saya walau sedikit kesempatan untuk menerangkan bahawa saya bukanlah Nana, kembali menujah-nujah telinga. Saya capai telefon, mencari di menu panggilan keluar. Saya tekan butang panggilan ke nombor itu sekali lagi. [hlm. 52]
c) Saspens
Pada permulaan cerita, pembaca tertanya-tanya pemilik suara tua yang sedang bercakap dengan watak "saya" melalui telefon.

Contohnya, • Dia memanggil saya dengan nama yang tidak tercatat pada kad pengenalan, tidak juga nama timangan sejak dilahirkan. Siapakah empunya suara tua yang rusuh di hujung talian sana? Seperti saya yang terburu-buru mendail nombor rumah teman yang baru diberikan pagi tadi, suara tua itu juga pantas mengatur kata, selaju jejari saya salah menekan nombor rumahnya. Selepas menyampaikan kisah yang sesetengahnya tidak saya fahami, suara tua itu menamatkan pengisahan dengan penghargaan dan pesanan. [hlm. 51]



5.    Latar
5.1 Latar Tempat
(a) Kampung.
Tempat tinggal "saya" dan Mak Piah serta tempat berlakunya kejadian banjir.

(b) Rumah "saya".
Tempat "saya" membuat panggilan telefon ke rumah Mak Piah.
( c ) Rumah Mak Piah.
Tempat "saya" menemui Mak Piah yang tinggal keseorangan.
(d) Tanah perkuburan.
Tempat jenazah Mak Piah dikebumikan.

5.2 Latar Masa
 (a) Empat hari empat malam.
Contohnya, hujan turun selama empat hari empat malam.
(b) Ketika banjir.
Contohnya, Mak Piah tiada bekalan makanan kerana banjir yang melanda kampung Mak Piah sudah sampai ke paras dada.
(d) Lima hari.
Contohnya, watak "saya" demam selama lima hari.
(e) Selepas banjir.
Contohnya, Mak Piah jatuh tergelincir dan kepalanya cedera ketika membersihkan rumah selepas kejadian banjir. Mak Piah meninggal dunia selepas kejadian banjir melanda kampungnya.
(f) Waktu pagi.
Contohnya, watak "saya" mendapatkan nombor telefon rumah temannya, iaitu Ameera pada waktu pagi.

5.3 Latar Masyarakat    
(a) Masyarakat kampung.
Contohnya, watak "saya" dan Mak Piah merupakan masyarakat yang tinggal di kampung.
(b) Masyarakat yang prihatin.
Contohnya, watak "saya" sangat mengambil berat tentang keadaan Mak Piah yang tinggal keseorangan.
(c) Masyarakat yang tidak bertanggungjawab.
Contohnya, Nana dan Nubhan membiarkan emak mereka hidup keseorangan di rumah usang tanpa bertanya khabar atau menjenguknya walaupun Nubhan tinggal berdekatan dengan rumah emaknya.
(d) Masyarakat yang mementingkan kasih sayang.
Contohnya, Mak Piah masih mengingati dan sangat merindui anaknya, Nana serta mengharapkan Nana sekeluarga berada dalam keadaan baik..
(f) Masyarakat yang terlalu merindui ibunya.
Contohnya, watak "saya" sangat merindui emaknya yang telah meninggal dunia dan dia begitu teruja untuk berjumpa dengan Mak Piah yang tinggal keseorangan itu.
(g) Masyarakat yang taat akan perintah agama.
Contohnya, Mak Piah masih menunaikan solat walaupun keadaannya sudah tua dan rumahnya dilanda banjir.

6.    Watak dan Perwatakan

6.1 "Saya"
(a) Anak yatim piatu.
(b) Seorang yang sensitif.
(c) Seorang yang prihatin.
(d) Seorang yang mudah bersimpati.
(e) Seorang yang merindui ibunya.
(f) Seorang mengambil berat terhadap kehidupan Mak Piah.
(g) Seorang yang sanggup berbohong semata-mata untuk melihat kebahagiaan Mak Piah.




6.2 Mak Piah
(a) seorang yang hidup seorang diri di rumah usang di sebuah kampung.
(b) seorang yang mempunyai dua orang anak, iaitu Nana dan Nubhan.
(c) Seorang yang peramah.
(d) Seorang yang takut akan ular.
(e) Seorang yang pengasih dan penyayang.
(f) Seorang yang taat akan perintah Tuhan.
(g) Seorang yang kurang pendengaran.
(h) Seorang yang sangat merindui anak-anaknya.

6.3 Nana
(a) Anak bongsu Mak Piah.
(b) Seorang yang takut kepada suami.
(c) Seorang yang tidak bertanggungjawab.
(d) Seorang yang jarang-jarang balik menjenguk emaknya.
(e) Seorang anak yang berasa sangat sedih apabila kehilangan emaknya.

7.    Gaya Bahasa

Gaya Bahasa
Contoh
(a) Pengarang menggunakan ayat pendek.
Contohnya, • "Dah tu, macam mana?"
• "Mak takut ular."
• "Mari kita makan! "
(b) ayat panjang.
• Tanpa sempat saya membetulkan tanggapan, suara itu putus dalam hujan yang sudah empat hari em pat malam lebat dan renyai menyilih ganti. [hlm. 52]
(c) Penggunaan bahasa Arab.
Contohnya, • Ya Allah • zuhur • assalamualaikum • Alhamduldlah • insya-Allah • jenazah • Arwah
(d) Metafora
Contohnya, • Lukisan ceria terpamer di wajah tua, tanda teruja menyalam perkenalan. [hlm. 54]
• ... hasratnya yang terpendam di lembah kepiluan. [hlm. 54]
• Saya merakamkan cerita dalam lautan fikir [hlm.551]
( e ) Personifikasi
Contohnya, • ... banjir kali ini telah menelan dua nyawa. [hlm. 521 • Getar suaranya menggegarkan perasaan. [him. 52]
• ... rindu yang mencengkam sukma ini,... [hlm. 54]
( f ) Peribahasa
Contohnya, • isihati

( g ) Sinkope
Contohnya, • Orang jual ikan dah tiga hari tak datang. Mamak jual roti pun tak boleh masuk kampung. Mak tak ada makanan. [hlm. 51]
• Abang kau tu, duduk saja dekat tapi tak menjenguk langsung tak hirau keadaan mak dalam banjir ni. [hlm. 51] •
( h )Repetisi
Atau telinganya sudah tidak mampu mendengar lagi? Ataukah agaknya dia bimbangkan bil telefon "anak" ini akan menjadi seperti harga ikan di pasar kami? Atau sememangnya dia keliru, antara pemanggil dengan orang yang dipanggil, siapa yang dikenakan bayaran? [him. 53]
• Saya yakin sungguh. Benar-benar yakin! [hlm. 53]

8.    Nilai dan Pengajaran
Nilai
Pengajaran
Contoh
( a) Kasih sayang
Kita mestilah menghargai kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak mereka.
Walaupun anak-anak Mak Piah tidak mengambil berat tentang kehidupannya di kampung, Mak Piah masih mengingati dan menyayangi anak-anaknya.
(b) Keprihatinan.
Kita hendaklah mengamalkan sikap perikemanusiaan dan tolong-menolong sesama manusia.
"Saya" sanggup mengharungi banjir untuk melihat keadaan hidup Mak Piah yang tinggal seorang diri.
(c) Baik hati.
Kita hendaklah sikap baik hati dengan membantu golongan warga emas.
"saya" membawa bekalan makanan untuk Mak Piah yang telah terputus bekalan makanan akibat kejadian banjir.
(d) Simpati.
Kita hendaklah bersimpati kepada golongan yang susah.
"saya" berasa simpati dengan keadaan Mak Piah yang tinggal keseorangan serta keadaan Mak Piah yang terlalu merindui anak-anaknya.