Isnin, 17 Oktober 2016

ANTOLOGI BAIK BUDI, INDAH BAHASA TINGKATAN 2 CERPEN:TALIA DAN RAKSASA QADQAD

ASSALAMMUALAIKUM DAN SELAMAT MALAM



Cerpen :  Talia dan Raksasa Qadqad karya ZaniffaAzzuraAbdullah

1.    Sinopsis

Talia dan keluarganya merupakan masyarakat orang asli yang tinggal jauh di kawasan pedalaman bersama-sama dengan puaknya. Pada suatu hari, sewaktu Talia sedang bermain-main di sempadan huma, berdekatan dengan hutan di lereng Bukit Ungu, Talia telah bertemu dengan seekor katak raksasa yang telah tercedera di bahagian tepi kepalanya. Luka itu kelihatan seperti dilibas gergaji. Oleh sebab timbul rasa kasihan, Talia telah merawat katak raksasa tersebut dengan menggunakan pucuk daun dalut. Dengan bantuan Talia, raksasa tersebut telah pulih dan terus menghilang di dalam hutan. Talia bercerita tentang katak raksasa itu kepada ibunya. Bapa Talia, Dodo menganggap bahawa cerita tersebut sebagai khayalan Talia sahaja. Namun begitu, tanggapan ibu dan ayah Talia berubah beberapa minggu selepas itu. Kisah ahli-ahli suku berselisih dengan sekeluarga makhluk seperti yang diceritakan oleh Talia di denai yang sama heboh diperkatakan. Penduduk kampung menggelar katak raksasa tersebut sebagai Raksasa Qadqad bersempena dengan bunyi yang dihasilkan oleh katak tersebut. Penduduk kampung bimbang jika mereka terpaksa berpindah lagi kerana mereka semua baru beberapa bulan berpindah ke Bukit Ungu.

Pada suatu hari, adik Talia, Jini demam panas. Bapa Talia, Dodo berpendapat bahawa Jini perlu dibawa ke hospital. Dodo mencadangkan agar mereka menumpang kereta api. Dodo mengajak isterinya, Misa dan anaknya, Talia ke bandar. Talia sekeluarga segera meninggalkan rumah mereka. Dodo mendukung Talia. lsterinya, Misa pula membawa Jini di dalam bakul sandang.

 Sewaktu Misa dan Dodo hendak ke stesen kereta api, mereka dijerkah oleh seorang lelaki. Lelaki tersebut bertugas mengawasi bijih yang disorong keluar untuk dipindahkan ke dalam gerabak kereta api. Dodo memberitahu lelaki itu tentang hasratnya yang ingin menumpang kereta api untuk ke bandar. Lelaki itu memarahi Dodo. Pemandu kereta api yang baru keluar memandang mereka dengan kehairanan. Pemandu kereta api itu, iaitu Sidek memberitahu lelaki tadi yang dipanggilnya Tuan Binjah tentang keadaan di kern balak timur yang kacau-bilau. Kekacauan tersebut berpunca daripada serangan kumpulan katak raksasa. Tujuh orang meninggal dunia manakala dua puluh orang lagi cedera.
Pada hari sebelum pembalak-pembalak itu diserang, sebatang balak telah menimpa sarang katak raksasa. Walaupun tidak cedera teruk, keluarga haiwan itu terperangkap. Mandur kem balak berkenaan telah menetak semua katak raksasa yang terperangkap itu. Tindakan tersebut membawa padah kepada pembalak-pembalak di kern berkenaan.

Sekumpulan katak raksasa muncul dari dalam hutan. Para pekerja lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri. Binjah dan kebanyakan pekerja termasuk Sidek masuk ke dalam sebuah bangunan. Qadqad yang paling dekat dengan keluarga Talia melompat lantas mendarat di bahu Dodo. Anehnya, haiwan itu cuma berkelip-kelip memandang Talia. Kepala haiwan itu berparut seperti bekas luka dilibas gergaji. Qadqad di bahu Dodo melompat turun. Ratusan katak raksasa yang lain mengikuti jejak Qadqad itu berundur. Binjah berasa hairan apabila melihat keluarga Talia tidak diserang oleh kumpulan katak raksasa tersebut. Dia melihat ada tanah berwarna ungu pada tangan, kuku, kaki, dan rambut Talia. Dia membuat rumusan kononnya katak raksasa takut akan tanah berwarna ungu. Akhirnya, keluarga Talia dibenarkan menaiki kereta api tersebut untuk ke bandar.

Tiga hari kemudian, Sidek datang menemui keluarga Talia di hospital. Kebetulan pula, adik Talia, Jini sudah dibenarkan keluar dari hospital. Sidek memberitahu Dodo tentang hasrat Binjah yang mahu melombong di Bukit Ungu. Menurut Sidek, Binjah telah mengarahkan seisi kampung berpindah. Binjah turut membawa samseng ke kampung itu. Sidek membawa keluarga Talia ke sebuah balai polis untuk mengadukan perkara yang berlaku. Sidek turut membawa keluarga Talia pulang ke kampung mereka dengan menaiki sebuah kenderaan.

Mereka tiba di kawasan perkampungan orang asli tersebut. Mereka mendengar suara Binjah berbalah dengan Tuk Sibat. Binjah dan para pengikutnya membawa jentera berat untuk memusnahkan perkampungan orang asli itu. Binjah menyuruh samseng upahannya membakar sebuah pondok yang terdapat di situ. Dodo dan Sidek menjerit meminta mereka berhenti. Binjah tetap menyuruh samseng upahannya membakar pondok tersebut. Penduduk kampung cuba menghalang perbuatan samseng tersebut. Binjah melepaskan dua das tembakan ke arah mereka. Satu daripadanya menembusi lengan kiri Dodo. Talia menjerit memanggil Raksasa Qadqad. Beratus-ratus ekor katak raksasa tersebut muncul dari dalam hutan. Kumpulan Raksasa Qadqad itu menyerang Binjah dan para pengikutnya. Sementara itu, Talia dan sukunya terus melarikan diri dari tempat tersebut.

Akhirnya, keadaan di kampung Talia tenang semula. Qadqad sudah ghaib. Beberapa buah pondok musnah terbakar. Puluhan mayat manusia dan bangkai Qadqad bergelimpangan. Selepas peristiwa itu, Raksasa Qadqad terus lenyap.

2.    Tema

Tema cerpen ini ialah konflik antara manusia dengan alam semula jadi.

Manusia bandar yang rakus dan tamak telah memusnahkan alam semula jadi demi mengaut keuntungan semata-mata. Hutan belantara ditarah untuk pembalakan manakala bukit diruntuhkan untuk dijadikan kawasan perlombongan sehingga memusnahkan habitat flora dan fauna. Kehidupan orang ash yang aman dan harmoni turut terancam.

3.    Persoalan
(a) Perbuatan yang baik akan dibalas dengan kebaikan.
Contohnya, Talia yang telah merawat seekor anak Raksasa Qadqad yang tercedera, akhirnya telah diselamatkan oleh raksasa tersebut sewaktu perkampungan mereka hendak dimusnahkan oleh Binjah..

(b)            Kasih sayang terhadap keluarga.
Contohnya, Dodo amat menyayangi anggota keluarganya dan sanggup ditembak oleh Binjah semata-mata untuk menyelamatkan anggota keluarganya.

(c) Sikap tamak segelintir manusia.
Contohnya, Binjah seorang yang tamak kerana hendak melombong di perkampungan orang asli tetapi akhirnya terkorban kerana diserang oleh Raksasa Qadqad.


(d)            Kesusahan masyarakat orang ash yang tinggal di kawasan pedalaman.
Contohnya, Dodo terpaksa berjalan kaki ke stesen kereta untuk mendapatkan rawatan anaknya, Jini yang sedang sakit di bandar.

(e) Persahabatan antara manusia dengan haiwan.
Contohnya, sifat Talia yang baik hati dan merawat seekor anak Raksasa Qadqad yang tercedera telah menyebabkan haiwan tersebut membantu kampungnya daripada dimusnahkan oleh Binjah.

4.    Plot Binaan

4.1 Plot
a) Permulaan —Talia telah bertembung dengan seekor Raksasa Qadqad sewaktu bermain di pinggir huma berhampiran dengan hutan di lereng Bukit Ungu. Talia terlihat seekor binatang aneh yang menyerupai seekor katak tercedera. Dia telah mengambil pucuk daun dalut untuk merawat binatang tersebut. Binatang aneh tersebut diberi nama Qadqad oleh penduduk kampung kerana bunyinya yang menyerupai bunyi seekor katak.

(b) Perkembangan — Peristiwa Dodo bersama-sama dengan isterinya, Misa dan anak-anaknya, Talia dan Jini pergi ke stesen kereta api untuk merawat Jini yang sedang demam di bandar. Di pertengahan jalan, mereka telah bertembung dengan Sidek, pemandu kereta api dan Binjah yang bertugas mengawas bijih yang disorong keluar dari bangunan untuk dipindahkan ke dalam gerabak kereta api. Mereka telah digertak oleh Binjah kerana cuba menaiki kereta api tersebut secara percuma. Secara tiba-tiba, Binjah dan pekerja lombong telah diserang oleh Raksasa Qadqad. Binjah berasa hairan kerana Talia dan keluarganya terselamat daripada serangan tersebut. Sidek telah menemani Dodo mendapatkan rawatan untuk Jini di hospital. Kemudian, mereka membuat laporan di balai polis tentang Binjah dai pengikutnya yang menyerang kampung mereka.

(c) Klimaks — Binjah dan para pengikutnya telah membawa jentera berat unto memusnahkan perkampungan orang ash tersebut kerana ingin mengaut hasil buminya. Dodo yang cuba mempertahankan kampung tersebut telah terkena tembakan pada lengan kirinya yang dilepaskan oleh Binjah.
(d) Peleraian — Beratus-ratus ekor Raksasa Qadqad muncul dari dalam hutan'i dan telah menyerang Binjah dan para pengikutnya. Banyak pengikutnya yang telah terkorban termasuk Binjah sendiri. Akhirnya, penduduk di perkampungan orang ash itu terselamat. Selepas peristiwa itu, Raksasa Qadqad terus lenyap.

4.2 Teknik Plot.

Teknik Plot
Contohnya,
(a) Dialog
• "Ini bukan demam biasa," kata Dodo. "Kita perlu bawa ke hospital." [hlm. 61]
•  "Tentulah tanah ungu. Serangan Qadqad sekarang berleluasa di hutan di seluruh negeri. Kata Tuan Binjah, sesiapa yang dapat mengawal tanah ungu, pasti kaya-raya!" [hlm. 64]

(b) Pemerian.
Makhluk itu mengerang, mempamerkan taring. Cecair hijau likat meleleh dari lekuk tajam di bahagian sisi kepalanya, persis luka akibat dilibas gergaj
c) Imbas kembali
 • Berdasarkan cerita salah seorang pembalak yang terselamat, pada hari yang sebelumnya, sebatang balak menimpa sarang makhluk itu. Biarpun tidak cedera teruk, keluarga haiwan itu terperangkap. Namun, entah apa-apa alasannya, mandur kem balak menetak mati kesemua yang terperangkap itu. Tindakannya itulah yang menjerut manusia lain dengan hukuman mati. [hlm. 62]







5.    Latar
5.1 Latar Tempat
(a) Kawasan Bukit Ungu.
 Tempat tinggal Talia dan keluarganya serta ahli sukunya.
(b) ) Kawasan hutan berhampiran dengan lereng Bukit Ungu bersempadan huma
Tempat Talia bertemu dengan anak Raksasa Qadqad
( c ) Rumah Dodo.
Tempat Dodo berbincang dengan isterinya, Misa untuk membawa anak mereka, Jini yang sedang demam ke hospital.
(d) Stesen kereta api.
Tempat Dodo dan keluarganya diherdik oleh Binjah
(e) Kawasan perlombongan.
Tempat Binjah dan pekerja lombong diserang oleh Raksasa Qadqad
( f ) Hospital.
Tempat Dodo membawa anaknya, Jini mendapatkan rawatan dan tempat pekerja lombong yang cedera mendapatkan rawatan.
(f)  Balai polis
Tempat Sidek membawa Dodo membuat laporan tentang rancangan Binjah untuk melombong di Bukit Ungu.

5.2 Latar Masa
 (a) Waktu siang.
Contohnya, Talia berjumpa dengan anak Raksasa Qadqad yang tercedera pada waktu siang
. (b) Waktu tengah hari.
Contohnya, penduduk orang asli di Bukit Ungu dapat mendengar bunyi kereta api datang dan pergi untuk mengangkut bijih ke bandar.
(c) Tiga hari.
Contohnya, Jini mendapat rawatan di hospital selama tiga hari.
(d) Waktu matahari tergelincir.
Contohnya, Tuk Sibat menghantar dua orang lelaki ke kawasan Bukit Ungu untuk memastikan bahawa keadaan di situ sudah selamat.

5.3 Latar Masyarakat   
(a) Masyarakat orang asli
Contohnya, anggota keluarga Talia dan sukunya merupakan masyarakat orang asli yang berpindah-randah, bertani, dan tinggal di kawasan hutan.
(b) Masyarakat bandar yang tamak dan kejam.
Contohnya, Binjah sanggup bertindak kejam dengan menghalau orang asli untuk mendapatkan kawasan lombong di Bukit Ungu.
(c) Masyarakat yang berkonflik dengan alam semula jadi.
Contohnya, Binjah telah menebang balak dengan sesuka hati dan ingin melakukan kerja perlombongan di Bukit Ungu sehingga mendorong Raksasa Qadqad menyerang mereka.
(d) Masyarakat yang penyayang.
Contohnya, Dodo amat menyayangi anak-anak dan isterinya sehingga sanggup menerima tembakan untuk menyelamatkan tempat tinggal mereka.
(e) Masyarakat yang kejam dan zalim.
Contohnya, Binjah sanggup bertindak kejam dengan membakar pondok orang asli yang terletak berhampiran dengan Bukit Ungu.

6.    Watak dan Perwatakan

6.1 "Talia
(a) Seorang budak perempuan kecil keturunan orang asli.
(b) Anak kepada Dodo dan Misa.
(c) Bersifat belas kasihan dan suka menolong.
(d) Bersahabat dengan Raksasa Qadqad.
(e) Seorang yang berani kerana merawat anak Raksasa Qadqad yang tercedera.
(f) Sayang akan keluarga dan ahli sukunya.
(g) Menghormati ibu dan bapanya.

6.2 Raksasa Qadqad
(a) Menyerupai seekor katak tetapi lebih besar.
(b) Mempunyai sepasang tanduk kecil di kepala.
(c) Mempunyai taring.
(d) Mampu meloncat tinggi.
(e) Mempunyai sepasang mata berwarna kuning beriris hijau.
(f) Menjadi penghuni dan penjaga hutan di Bukit Ungu.
(g) Menyelamatkan orang ash sewaktu Binjah ingin memusnahkan kampung mereka.
(h) Mengenang budi kerana telah menyelamatkan Talia dan keluarganya.
(i) Mampu menyerang dan membunuh manusia yang jahat.

6.3 Dodo
(a) Ayah kepada Talia dan Jini.
(b) Isterinya bernama Misa.
(c) Seorang yang penyayang kerana sanggup mempertahankan keluarga dan kampungnya daripada diancam oleh Binjah dan pengikutnya.
(d) Bertanggungjawab kerana bersusah payah membawa anaknya yang sedang demam untuk mendapatkan rawatan di hospital.
(e) Sanggup berkorban untuk menjamin keselamatan anggota keluarganya.

6.4 Binjah
(a) Seorang saudagar yang tamak kerana cuba memusnahkan kampung orang asli untuk mendapatkan hasil buminya.
(b) Kejam dan tidak bertimbang rasa kerana sanggup menyerang dan membakar rumah orang asli.
(c) Mementingkan kekayaan semata-mata tanpa memikirkan kepentingan alam semula jadi.
(d) Terkorban bersama-sama dengan pengikutnya sewaktu diserang oleh Raksasa Qadqad.

6.5 Sidek
(a) Bekerja dengan Binjah.
(b) Membantu Dodo membawa anaknya yang sakit ke hospital.
(c) Membuat aduan di balai polis berkaitan dengan rancangan Binjah yang mahu memusnahkan kampung orang asli di sekitar Bukit Ungu.
(d) Menyebelahi puak orang asli sewaktu Binjah cuba memusnahkan kampung mereka.


6.6 Tuk Sibat
(a) Ketua suku kaum orang asli.
(b)                        Ketua yang bertanggungjawab kerana sanggup menentang Binjah yang ingin memusnahkan kampungnya.
(c) Berani menentang Binjah dan pengikutnya sewaktu mereka datang mengganggu tempat tinggal sukunya.

7.    Gaya Bahasa

Gaya Bahasa
Contoh
(a) Pengarang menggunakan ayat pendek.
Contohnya, • "Kita ke bandar" ujar Dodo.
• "Nak ke mana?"
(b)                        Ayat panjang.
Contohnya, • Talia sedang bermain sendirian di sempadan huma, berdekatan dengan hutan di lereng Bukit Ungu apabila dia terdengar rengekan ganjil. [hlm. 58]
• Walaupun belum semusim berkampung di situ, semua orang dapat melihat betapa gemuknya padi mereka, seolah-olah buminya berkhasiat ajaib. [hlm. 60]
(c) Kata Ganda
Contohnya,
• "Apa tumpang-tumpang? Kau fakir kereta api ni untuk bersuka ria?" [hlm. 62]
• ... Jentera-jentera berat yang menumbangkan pokok-pokok ceruyu tampak kecil di hujung jalan. [hlm. 65]
(d)                        Personifikasi
Contohnya,
• ... lingkaran reben hijau kuning itu kembali ditelan hutan belantara. [hlm. 63]
• Matahari mula tergelincir tatkala Tuk Sibat menghantar dua orang lelaki [hlm. 67]

(e) Inversi
• Lewat petang hari yang sama, sampailah mereka ke destinasi. [hlm. 61]
• ... Di bandar, Sidek menguruskan perjalanan mereka ke hospital bersama-sama dengan pekerja lombong yang cedera. [hlm. 64]
(f)  Sinkope
Contohnya, • "Kami ada padi saja." • "Kalau begitu, melombong di pinggir hutan saja tanahnya ungu juga," saran Dodo. [hlm. 64]
• "... Tapi tentulah Tuk Sibat tak mahu terima arahan itu," ujar Sidek, menyambung cerita. [hlm. 64] •
(g)Repetisi
• "Ini, di tangan, di kuku, di kaki, di rambut ..."
 • "Tanah. Talia main tanah tadi," sambut Dodo, bingung.

(h)                        Simile
Contohnya, • "Gempal macam disumbat air"... • ... bagaikan cincin melingkari gunung

8.    Nilai dan Pengajaran
Nilai
Pengajaran
Contoh
( a) Baik hati
Kita haruslah bersimpati dengan semua makhluk yang berada di sekeliling kita.
Contohnya, Talia menolong dan merawat anak Raksasa Qadqad yang tercedera pada bahagian kepalanya.
(b) Kasih sayang
Kita mestilah menyayangi anggota keluarga supaya mereka dapat hidup dengan selamat dan selesa.
Contohnya, Dodo amat menyayangi keluarganya. Dia sanggup bersusah payah menghantar anaknya, Jini ke hospital yang terletak di bandar untuk mendapatkan rawatan.
(c) Keberanian.
Kita harus berani mempertahankan hak kita walaupun terpaksa mengorbankan diri.
Contohnya, Dodo berani menentang kekejaman Binjah yang ingin merampas kawasan tempat tinggal sukunya.
(d) Kegigihan.
Sebagai ketua yang bertanggungjawab, kita mestilah mempertahankan hak anak-anak buah kita daripada dirampas oleh pihak luar
Contohnya, Tuk Sibat gigih berusaha untuk mempertahankan perkampungan sukunya daripada dirampas oleh Binjah.
( e ) Tolong-menolong.
Kita haruslah memberikan pertolongan kepada orang yang sedang berada dalam kesusahan.
Tolong-menolong. Contohnya, Sidek memberikan pertolongan kepada keluarga Dodo dengan menumpangkan mereka pulang dari bandar menggunakan kereta api yang dipandunya.