Sabtu, 27 Februari 2016

ANTOLOGI BAIK BUDI, INDAH BAHASA TINGKATAN 2 : PUISI TRADITIONAL PANTUN NASIHAT

ASSALAMMUALAIKUM DAN SELAMAT PETANG

PUISI TRADITIONAL:  PANTUN NASIHAT

Pantun
Maksud Pantun
Tanam balik buah peria,
Buah peria mahal sekali;
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jangan sekali.

Rangkap 1   Jika hendak membuat pekerjaan yang baik, janganlah berlebih- lebihan sehingga tidak kena pada tempatnya, dan pekerjaan yang jahat hendaklah dihindarkan sama sekali.

Ketua-ketua raja duduk,
Jangan ditimpa pagan;
Diketahui ganja itu mabuk,
Apakah sebab maka dimakan?

Rangkap 2 Sesuatu yang haram dan memabukkan hendaklah tidak diambil sama sekali.

Meninjau berpadi masak,
Batang kapas bertimbul jalan;
Hati risau dibawa gelak,
Bagai panas mengandung hujan.

Rangkap 3 Jangan dibiarkan perasaan sedih dan risau berpanjangan.

Pulau di balik Pulau Gosong, Pandan di Jawa diranggungkan; Jangan kata terdorong-dorong, Badan dan nyawa menanggungkan.

Rangkap 4 tutur kata haruslah sentiasa dijaga agar kita tidak menanggung sengsara.
Hangus bertih berwarna merah,
Mari dituang ke dalam kain;
Suami yang letih usah dimarah, Kelak terbang ke bunga lain.

Rangkap 5 Seseorang isteri hendaklah mengelakkan diri daripada memarahi suami yang sedang letih kerana dikhuatiri dia akan mencari perempuan lain.
Anak Cina membawa surat,
Dari Perak langsung ke Deli;
Hidup di dunia biar beradat,
Bahasa tidak dijual beli.

Rangkap 6 hendaklah beradat ketika hidup di dunia dan bahasa itu tidak dapat dijual beli.
Pisang kelat digonggong helang,
Jatuh ke lubuk lnderagiri;
Jikalau berdagang ke rantau orang,
Baik-baik membawa diri.

(Dipetik daripada antologi Baik Budi, Indah Bahasa, Tingkatan 2, Arah Pendidikan Sdn. Bhd.)
Rangkap 7 para perantau dinasihatkan agar pandai membawa diri di tempat orang.

1.   Tema
Nasihat yang dijadikan panduan hidup kepada masyarakat agar sentiasa melakukan kebaikan. Pelanggaran norma dalam masyarakat akan membawa keburukan dalam kehidupan.

2.   Persoalan
a.   Sentiasa melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan.
b.   Melakukan perbuatan haram akan membawa kemudaratan.
c.   Perasaan sedih dan risau tidak boleh dibiarkan berpanjangan.
d.   Berhati-hati mengucapkan tutur kata kerana jika tersilap berkata-kata buruk padahnya.
e.   Persefahaman antara suami dengan isteri mampu menjamin kebahagiaan rumah tangga.
f.     Budi bahasa amat penting dalam hidup bermasyarakat.
g.   Adat orang merantau mestilah pandai membawa diri di tempat orang.

3.   Bentuk
a.   Pantun ini terdiri daripada tujuh rangkap.
b.   Bilangan baris pada setiap rangkap adalah sama iaitu empat baris satu rangkap.
c.   Ada pembayang dan maksudnya.
d.   Jumlah suku kata dalam pantun ini antara tujuh hingga sebelas suku kata.
e.   Pantun ini berbentuk terikat.
4.   Unsur Bunyi
(a)  Asonansi.
Contohnya, • Batang kapas bertimbal jalan  (perulangan vokal a);
• Hangus bertih berwarna (perulangan vokal e);
(b)  Aliterasi.
Contohnya, • Buat baik berpada-pada   (perulangan konsonan b);
• Hidup di dunia biar beradat  (perulangan konsonan d).
5.   Gaya Bahasa
Anafora (perulangan kata pada awal baris).
Buat baik berpada-pada, Buat jahat jangan sekali.
Inversi.
Buat jahat jangan sekali;

Penggunaan unsur alam.
buah peria; padi; kapas; panas; hujan; pulau;
Repetisi.
buah peria (rangkap 1, baris 1 dan 2)
Simile.
Bagai panas mengandung hujan.


6.   Nilai dan Pengajaran

Nilai
Pengajaran
Nilai baik hati.
Kita hendaklah sentiasa melakukan kebaikan dan menjauhkan diri daripada melakukan kemungkaran.
Nilai rasional.
Kita mestilah mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang haram supaya hidup kita tidak binasa.
Nilai ketabahan
Kita hendaklah tidak terlalu bersedih dengan dugaan yang menimpa diri kerana perbuatan tersebut akan memudaratkan diri sendiri.
Nilai berhati-hati.
Kita mestilah berhati-hati dengan tutur kata supaya diri kita terhindar daripada sebarang bencana.


ANTOLOGI BAIK BUDI, INDAH BAHASA TINGKATAN 2 : PUISI TRADITIONAL PANTUN BUDI

ASSALAMMUALAIKUM DAN SELAMAT PETANG

PUISI TRADITIONAL:  PANTUN BUDI


Pantun
Maksud pantun
Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hat terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik rasa nak junjung.

Rangkap 1 Budi yang baik akan sentiasa dikenang dan menjadi sebutan orang.

Yang kurik kundi,
Yang merah saga;
Yang baik budi,
Yang indah bahasa.

Rangkap 2 Orang yang baik mempunyai budi dan bahasa yang tinggi.

Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

Rangkap 3 Orang yang tidak berbudi bahasa akan dipandang hina.

Bunga cina di atas batu,
Jatuh daunnya ke dalam ruang;
Adat dunia memang begitu,
Sebab emas budi terbuang.

Rangkap 4 Sudah menjadi lumrah hidup, kekayaan lebih diutamakan daripada budi bahasa.

Anak beruk di tepi pantai, 
Pandai melompat pandai menari;
Biar buruk kain dipakai,
Asal hidup pandai berbudi.
Rangkap 5 Biarlah kita hidup miskin asalkan kita sentiasa berbudi bahasa.

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
lndah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.
Rangkap 6 Orang yang berbudi akan dipandang mulia, manakala martabat bangsa dinilai dari segi bahasa dan tutur kata.

Padang Temu Padang baiduri,
Tempat raja membangun kota;
Bijak bertemu dengan jauhari,
Bagai cincin dengan permata.

(Dipetik daripada antologi Baik Budi, lndah Bahasa,Tingkatan 2, Arah Pendidikan Sdn. Bhd.)
Rangkap 7 Orang yang bijak akan kelihatan lebih hebat jika bersama-sama dengan orang yang sama taraf dengannya.






1.      Tema
Masyarakat akan memandang tinggi terhadap golongan yang berbudi bahasa kerana bahasa menunjukkan identiti sesuatu bangsa. 

2.      Persoalan
a.       Orang yang tidak berbudi bahasa akan dipandang hina.
b.      Sikap masyarakat yang mementingkan kekayaan boleh menyebabkan mereka lupa akan nilai budi bahasa.
c.       Masyarakat Melayu amat mementingkan budi bahasa dan tutur kata.
d.      Ketinggian darjat sesuatu bangsa dinilai pada bahasa yang dituturkannya.
e.       Golongan miskin tetap dipandang mulia jika mereka berbudi bahasa.
f.       Kebijaksanaan seseorang akan terserlah jika berada dalam kalangan orang yang bijaksana.

3.      Bentuk
a.       Pantun ini terdiri daripada tujuh rangkap.
b.       Bilangan baris pada setiap rangkap adalah sama.
Contohnya, • setiap rangkap empat baris;
c.       Ada pembayang dan maksudnya.
d.      Jumlah suku kata 4 hingga 7.
e.       Pantun jenis terikat.

4.Gaya Bahasa

Gaya Bahasa
Contoh
Anafora (ulangan perkataan di hadapan)
Yang kurik kundi,
Yang merah saga, Yang  baik
Penggunaan unsur alam
air; laut; tanjung; bunga melati;batu.
Peribahasa.
Bagai cincin dengan permata
Personifikasi.
Bijak bertemu dengan jauhari.
Repetisi.
budi (rangkap 1, baris 4)
Responsi (perulangan perkataan yang sama di tengah ayat).
Indah tampan kerana budi, Tinggi bangsa kerana bahasa.

 5.Nilai dan Pengajaran

Nilai
Pengajaran
Nilai berbudi bahasa.
Kita mestilah mempraktikkan amalan berbudi bahasa agar sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat
Nilai mengenang jasa.
Kita hendaklah mengenang jasa orang yang telah berbudi kepada kita.
Nilai kebijaksanaan
Kita disarankan supaya menjadi golongan yang bijaksana agar dapat membantu untuk membangunkan bangsa dan negara.


ANTOLOGI BAIK BUDI, INDAH BAHASA TINGKATAN 2 : PUISI TRADITIONAL PANTUN KIASAN

ASSALAMMUALAIKUM DAN SELAMAT MALAM

PUISI TRADITIONAL:  PANTUN KIASAN
Pantun
Maksud Pantun
Tikar pucuk tikar mengkuang,
 Alas nikah raja Melayu;
Ikan busuk jangan dibuang,
 Buat perencah si daun kayu.

Rangkap 1: Perbuatan membazir adalah suatu amalan yang merugikan.
Buah bacang masak serangkai,
 Burung dekut meniti batang;
Saya dagang tidak terpakai,
Macam melukut di tepi gantang.
Rangkap 2: Orang yang merantau selalunya akan merendah diri apabila berada di tempat orang.
Tebang gelam tebang kenanga,
Batangnya tumbang menimpa gedung; Kumbang mengidam nak seri bunga,
Bunga kembang di puncak gunung.
Rangkap 3: Sebelum menginginkan sesuatu yang dianggap mustahil, ketahuilah tahap kemampuan dan kebolehan diri kita lebih dahulu.

Pokok terap tumbuh di bukit,
Belat berbanjar panjang ke hulu;
Jangan diharap guruh di langit,
Kilat memancar hujan tak lalu.

Rangkap 4: mengharapkan sesuatu yang belum pasti.
Limau Bentan di tepi tingkap,
Budak-budak melempar burung;
Harimau di hutan lagi kutangkap,
Kononlah pulak cicak mengkarung.
Rangkap 5: Sikap seseorang yang sombong dengan kebolehan diri serta memandang rendah lernadap orang lain.
Air surut memungut bayam,
 Sayur diisi ke dalam kantung;
Jangan diikut resmi ayam,
Bertelur sebiji riuh sekampung.

Rangkap 6: Jangan suka membesar-besarkan kejayaan yang tidak seberapa.
Anak punai anak merbah,
Hinggap di tonggak mencari sarang;
Anak sungai lagi berubah,
Inikan pula hatinya orang.
Rangkap 7: Pendirian manusia sering berubah-ubah.
Rotan siput rotan berlingkar,
Anak itik patah kakinya;
Hujan ribut gunung terbakar,
Embun setitik padam apinya.
Rangkap 8: Perasaan marah akan segera hilang dengan adanya nilai kesabaran dalam diri.
Raut bilah pembatang taut,
Kail berada dalam raga;
Tidak sudah seluang melaut,
Akhirnya balik ke tepi juga.



Rangkap 9: Orang yang merantau akhirnya akan kembali ke tempat asalnya semula.
Sangkut terendak dekat beranda,
Orang Papua anyam tak sudah;
Jika tidak ada berita,
Masakan tempua bersarang rendah.

Rangkap 10: Setiap perkara yang berlaku dan diperkatakan orang tentu ada sebabnya.
Bunga geti bergulai temenung,
Di hari raya memakan tapai;
Hajat hati nak peluk gunung,
Apakan daya tangan tak sampai.

Rangkap 11: Menginginkan sesuatu yang besar tetapi tidak mempunyai keupayaan.
Suasa bertahil emas berbungkal,
Tetapi intan tiada sesaga;
Kalau kail panjang sejengkal,
Usah lautan hendak diduga.

Rangkap 12: Jika pengetahuan sedikit, janganlah hendak melawan orang yang lebih banyak pengetahuannya.
Dang Nila memangku puan,
Berembang buah pedada;
Adakah gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada.

Rangkap 13: Sudah bersiap sedia untuk mengecap hasil yang belum lagi diperoleh.
Hari hujan puyuh mendengut,
Mendengut marl sepanjang jalan;
Air dalam kapar tak hanyut,
Kononlah pula kemarau panjang.

Rangkap 14: Jika semasa masih muda sudah malas, apatah lagi setelah usia tua; sedangkan semasa makmur tidak senang, apatah lagi semasa susah.
Berilah saya pisau raut,
Hendak meraut bingkai tudung;
Gila apakah ikan di laut,
Mengidamkan umpan di kaki gunung.

Rangkap 15: Seseorang yang inginkan sesuatu di luar kemampuannya.
Laksana gadis Menteri Bogor,
Bijak membilang ayam betina;
Nyawa menangis di pintu kubur,
Hendak pulang ke dalam dunia.
Rangkap 16: Orang yang melakukan dosa tetapi sudah terlambat untuk bertaubat.
Hilir berderap mudik berderap,
Patah galah haluan perahu;
Sungguh laksana bunga dedap,
Cantik merah tidak berbau.

(Dipetik daripada antologi Baik Budi, Indah Bahasa, Tingkatan 2, Arah Pendidikan Sdn. Bhd.)
Rangkap 17: Seseorang yang mempunyai rupa paras yang elok tetapi tidak berbudi bahasa.




1.      Tema
 Sindiran terhadap segelintir anggota masyarakat yang mengamalkan sikap negatif sehingga boleh menjejaskan kehidupan diri sendiri dan orang lain.


2.      Persoalan
 (a) Sikap membazir tidak digalakkan untuk diamalkan dalam kalangan masyarakat.

(b) Sikap rendah diri dalam kalangan perantau apabila berada di tempat orang.

(c) Sifat segelintir manusia yang mengharapkan sesuatu di luar kemampuan diri.

(d) Sikap manusia yang terlalu mengharapkan sesuatu yang belum pasti hasilnya.

(e) Sifat sombong dan bangga diri akan membawa kemudaratan kepada diri sendiri.

(f) Sifat sabar akan dapat melenyapkan kemarahan.

(g) Perantau yang pergi jauh akhirnya akan kembali ke kampung halaman juga.

(h) Sifat malas yang bermula sejak kecil akan sukar diubah apabila sudah dewasa, begitu juga apabila semasa makmur tidak senang, apatah lagi semasa susah.

(i) Kecantikan diri tidak berharga jika tidak berbudi bahasa.

(j) Segeralah bertaubat setelah melakukan dosa.

3.      Bentuk

          (a) Pantun ini terdiri daripada tujuh belas rangkap.

          (b) Bilangan baris pada setiap rangkap adalah sama.

4.      Unsur bunyi

(a) Asonansi.

·         Contohnya,

 Alas nikah raja Melayu    (perulangan vokal a);

Limau Bentan ditepi tingkap    (perulangan vokal e);

Hujan ribut gunung terbakar  (perulangan vokal i);


(b) Aliterasi.

·         Contohnya,

Buah bacang masak serangkai (perulangan konsonan b);

 Hendak pulang ke dalam dunia (perulangan konsonan d);



1.      Gaya Bahasa

Gaya Bahasa
Contoh
1.       
Hiperbola.
• Hujan ribut gunung terbakar,
• Embun setitik padam apinya.  

2.       
Inversi
• Ikan busuk jangan dibuang;
• Gila apakah ikan di laut.

3.       
Penggunaan unsur alam.
ikan;burung dekut; gelam; kenanga; kumbang; bunga;

4.       
Peribahasa
• Jangan diikut resmi ayam, Bertelur sebiji riuh sekampung;

5.       
Personifikasi
•nyawa menangis di pintu kubur.

6.       
Repetisi
• tikar (rangkap 1, baris 1);

7.       
Sinkope
• Kilat memancar hujan tak lalu;

8.       
Simile
• Macam melukut di tepi gantang;


6.      Nilai dan Pengajaran

Nilai
Pengajaran
1.      Nilai berjimat cermat
Kita mestilah mengelakkan diri daripada melakukan pembaziran.
2.      Nilai kesabaran
Kita mestilah banyak bersabar untuk memadamkan kemarahan dalam diri
3.      Nilai berbudi bahasa
Kita hendaklah sentiasa berbudi bahasa supaya kita akan dipandang mulia oleh masyarakat.
4.      Nilai merendah diri
Kita hendaklah bersikap merendah diri apabila merantau ke tempat orang.
5.      Nilai keinsafan.
Kita haruslah insaf dan bertaubat setelah melakukan dosa.