SINOPSIS UMUM SILIR DAKSINA
Novel Silir Daksina mengisahkan seorang remaja bernama Haiqal
Hakimi yang hidup bersama-sama dengan umi, bapa tirinya, dan adik tirinya,
Nurul Asiyah di Kuala Terengganu, Terengganu. Bapa Haiqal, iaitu Abdullah bin
Kayan berada di Kampung Seri Purnama, Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Haiqal
terpisah dengan bapanya apabila uminya berpisah dengan bapanya kerana mereka
tidak sehaluan. Uminya yang merupakan seorang usahawan batik dan mempunyai
kedai di Pasar Payang tidak dapat menerima bapanya sebagai seorang pencinta
seni sastera dan budaya. Akibatnya, perkahwinan antara mereka hanya mampu
bertahan selama tiga tahun.
Sejak kecil Haiqal tidak pernah berjumpa dengan ayahnya.
Ketika berusia 12 tahun, bapanya telah meninggal dunia sewaktu Haiqal menduduki
Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Umi dan bapa tirinya pergi ke kampung
arwah ayahnya untuk menziarahi jenazah tetapi melarang Haiqal untuk turut sama
atas alasan dia sedang menduduki UPSR. Haiqal hanya mampu menangis kerana tidak
dapat melihat wajah ayahnya buat kali terakhir. Walaupun Haiqal berasa terkilan
namun dia amat menyayangi uminya dan tidak berani membantah kata-katanya. Pada
suatu hari, Haiqal menerima sebuah manuskrip yang dihantar oleh seorang gadis
berbangsa Cina melalui kiriman pos. Sejak itu, hati Haiqal meronta-ronta untuk
pergi ke Batu Pahat, iaitu tempat arwah bapanya tinggal. Manuskrip yang
diterima itu menceritakan pelbagai peristiwa berkaitan dengan kehidupan bapanya
yang melibatkan diri dalam aktiviti untuk memperkasa seni dan budaya zapin.
Justeru, Haiqal berasa teruja untuk menjejaki sejarah kehidupan bapanya itu
bagi mengubat kerinduan yang ditanggung olehnya sejak kecil.
Pada suatu malam, Haiqal telah memberitahu uminya bahawa dia
ingin ke kampung halaman bapanya. Umi Haiqal melarang Haiqal meneruskan
rancangannya itu dan memarahinya dengan alasan tiada apa-apa di kampung
tersebut memandangkan ayahnya sudah lama meninggal dunia. Haiqal yang telah
nekad tetap berkeras dengan keputusannya itu. Umi Haiqal mengugut Haiqal bahawa
dia tidak akan memberikan wang kepadanya sekiranya dia kekampung arwah ayahnya
itu. Walid memahami perasaan Haiqal dan merestukan pemergiannya. Walid akan
menampung perbelanjaan Haiqal sepanjang dia berack di Johor kelak.
Haiqal ke selatan
tanpa diiringi oleh uminya. Di halaman rumah, walid dan adik tirinya, Nurul
Asiyah sahaja yang mengiringi Haiqal hingga ke muka pintu. Haiqal dihantar oleh
Ratna ke stesen bas. Haiqal sampai di stesen bas Batu Pahat pada waktu subuh.
Selesai menunaikan solat subuh di surau, Haiqal menaiki sebuah teksi untuk ke
Parit Raja, iaitu kampung halaman bapanya.
Di sebuah warung, Haiqal bertanya kepada pemilik warung
tersebut tentang rumah arwah ayahnya. Pemilik warung tersebut, iaitu Wak
Sakimin menyuruhnya menunggu Tauke Ong untuk membawa Haiqal ke rumah arwah
ayahnya. Tidak lama kemudian, Tauke Ong tiba di warung Wak Min. Tauke Ong
menghantar Haiqal ke rumah arwah ayahnya. Haiqal disuruh berehat dan dia akan
membawa Haiqal makan tengah hari di bandar. Di rumah arwah ayahnya, Haiqal
melihat beberapa sijil dan gambar yang ada. Haiqal mendapati arwah ayahnya,
Abdullah bin Kayan adalah lebih hebat daripada yang dia sangkakan.
Tepat jam 12:30
tengah hari, Tauke Ong dan anaknya, See Hwa datang untuk membawa Haiqal makan
tengah hari. Sewaktu di dalam kereta, Tauke Ong memberitahu bahawa banyak kerja
yang Haiqal perlu uruskan. Tauke Ong memegang amanah untuk menguruskan ladang
kelapa sawit dan kebuh getah milik arwah ayah Haiqal dan dia akan menyerahkan
semua urusan itu kepada Haiqal.
Setibanya di pekan Parit Raja, Tauke Ong memberitahu Haiqal
bahawa dia ada urusan di bank dan meminta anaknya, See Hwa membawa Haiqal makan
di sebuah restoran. Di restoran itu, See Hwa berbual-bual dengan Haiqal tentang
tempat tinggal masing-masing. Pada waktu itu, Haiqal teringatkan rakan
karibnya, Ratna. Sejak tiba di kampung pada pagi itu, dia masih belum
menghantar SMS kepada Ratna. Semasa makan, See Hwa memberitahu bahawa ayah
Haiqal pandai memasak ciii padi ikan haruan. Haiqal merasakan bahawa See Hwa
beruntung kerana dapat merasai kasih sayang arwah ayahnya dan dapat mengisi
kekosongan jiwa arwah ayahnya itu. Haiqal ingin mendekati See Hwa kerana dia
yakin bahawa See Hwa banyak menyimpan rahsia hidup ayahnya. Dia jugs membuat
telahan bahawa watak Ai Ling dalam manuskrip yang ditulis oleh arwah ayahnya
itu ialah See Hwa.
See Hwa membawa Haiqal berjalan-jalan di sekitar pekan Parit
Raja dan mereka berhenti di sebuah kedai buku. See Hwa memilih-milih novel yang
hendak dibelinya manakala Haiqal membeli majalah yang berkaitan dengan bahasa
dan sastera. Ketika itu, mereka mendapati bahawa mereka meminati penulis yang
sama. Pertemuan itu telah menimbuikan kemesraan antara mereka berdua. Pada
petang itu, Haiqal tersedar daripada tidurnya. Haiqal membaca SMS yang dihantar
oleh Nurul Asiyah dan membaiasnya.
Haiqal menziarahi
pusara ayahnya dengan menaiki motosikal yang dipinjamkan oleh Tauke Ong. Haiqal
membaca surah al-Fatihah dan berselawat ke atas nabi, seterusnya membaca surah
Yaasin. Semasa Haiqal menunggang motosikal, hatinya tergerak untuk
memberhentikan motosikalnya berhampiran dengan sekumpulan remaja yang sedang
memancing ikan. Haiqal berbual-bual dengan Pak Cik Bakar. Pak Cik Bakar
mempelawa Haiqal ke rumahnya untuk bercerita lebih lanjut tentang arwah
ayahnya. Selepas menunaikan solat maghrib dan isyak di masjid, Haiqal ke warung
Wak Min untuk mengisi perut. Haiqal, Pak Cik Bakar, Wak Arif, dan Haji Salim
berbual-bual mengenai tarian zapin.
Pada suatu hari, Haiqal telah dibawa ke balai raya Kampung
Seri Purnama. Di situ, Haiqal dapat melihat hasil kegiatan ayahnya. Beberapa
album, majalah, dan buku-buku milik arwah ayahnya juga dipamerkan di situ.
Haiqal sedar bahawa ayahnya benar-benar seorang penari zapin. Di warung, Haigal
bertanya tentang Aksara kepada See Hwa dan memberitahu bahawa perkara itu ada
dalam manuskrip ayahnya. See Hwa memberitahu bahawa Aksara merupakan
satu-satunya perkara yang tidak dapat dilaksanakan oleh arwah ayah Haiqal
sebelum dia meninggal dunia. See Hwa juga menjelaskan bahawa Aksara ialah singkatan
kepada Akademi Sastera Rakyat dan arwah ayah Haiqal bercita-cita untuk
menjadikan kampung Seri Purnama sebagai pusat pengembangan sastera di daerah
itu. Arwah ayah Haiqal amat mencintai bidang sastera rakyat dan menganggap
bahawa tugas itu sebagai satu tanggungjawab sosial yang mesti dilaksanakan
untuk mendekatkan masyarakat dengan sastera.
Haiqal telah
mencadangkan kepada Pak Cik Bakar untuk mengadakan persembahan tarian zapin.
Cadangan Haiqal itu dikemukakan kepada ketua kampung. Mesyuarat untuk membincangkan
cadangan Haiqal telah diadakan di balai raya dan cadangan Haiqal itu diterima
sebulat suara oleh penduduk kampung. Pembahagian tugas sempena majlis yang
bakal diadakan itu turut dilakukan pada malam tersebut. Tauke Ong menawarkan
diri untuk menaja jamuan semasa majlis itu berlangsung kelak. Oleh itu,
persiapan sempena majlis tersebut dilakukan oleh penduduk kampung. Haiqal juga
turut serta dalam membuat persiapan itu. Tauke Ong mencadangkan agar Haiqal
turut mempelajari tarian zapin. Haiqal akur apabila Pak Cik Bakar, Haji
Selamat, Wak Parmin, Abang Ramlan, dan Wak Seman bersungguh-sungguh mahu
mengajarnya tarian zapin.
Seminggu sebelum acara persembahan itu, Haiqal telah
memaklumkan kepada walidnya tentang tarian zapin jincat itu. Dia meminta walid,
umi, dan Nurul Asiyah mendoakannya agar dapat mempersembahkan tarian itu dengan
baik. Pada hari majlis tersebut, mereka mendapat berita bahawa Lazim telah
ditimpa kemalangan jalan raya sewaktu pulang dari kerja. Haji Salim
mengemukakan cadangan supaya See Hwa menggantikan Lazim memandangkan Lazim
tidak dapat menjadi pasangan Haiqal untuk persembahan tarian tersebut. Haji
Salim menyuruh Haiqal memujuk See Hwa untuk menari zapin dengannya.
Selepas solat maghrib, Haiqal ke rumah Tauke Ong. Dia
memberitahu Tauke Ong tentang tujuannya untuk memujuk See Hwa supaya
berpasangan dengannya pada malam itu. Haiqal terkejut apabila mendapati See Hwa
sedang menggosok baju zapin. See Hwa berterus terang kepada Haiqal bahawa dia
dan Lazim sudah berpakat untuk membuat kejutan kepada Haiqal. Haiqal meminta
See Hwa menari bersamanya bagi menggantikan tempat Lazim.
Akhirnya, malam itu menjadi kenyataan apabila Haiqal dapat
mempersembahkan tarian zapinnya dengan baik. YB Datuk Syaiful Azizi terpesona
melihat kelembutan gerak tari See Hwa dan Haiqal. Ketika asyik menari, Haiqal
terpandang uminya, walid, dan Nurul Aisyah yang sedang berdiri di belakang
balai raya sambil melihatnya menari di atas pentas. Haiqal amat terharu dan
bersyukur apabila melihat mereka datang untuk melihatnya menari.
Haiqal membuat keputusan untuk menyambung pelajarannya di
sebuah universiti di Bumi Kenyalang. Haiqal percaya bahawa dendam uminya
terhadap ayahnya juga telah lebur apabila uminya datang ke Kampung Seri Purnama
untuk melihat dia menari zapin. Umi Haiqal sedar bahawa darah merah yang
mengalir dalam setiap pelosok tubuh Haiqal merupakan darah Abdullah bin Kayan
yang tidak boleh dinafikan. Sahabat Haiqal, iaitu Ratna telah bertunang dengan
seorang usahawan. Ketika Haiqal meninggalkan Kampung Seri Purnama, See Hwa telah
menangis. Haiqal sedar bahawa dia perlu menjadi seperti ayahnya untuk
mewujudkan Aksara semula. Hasrat itu masih terlalu jauh daripada jangkauannya
kerana dia masih belum layak untuk memimpin Aksara. Haiqal merasakan bahawa
silir daksina benar-benar mendamaikannya.