Sabtu, 27 Februari 2016

ANTOLOGI BAIK BUDI, INDAH BAHASA TINGKATAN 2 : PUISI TRADITIONAL PANTUN NASIHAT

ASSALAMMUALAIKUM DAN SELAMAT PETANG

PUISI TRADITIONAL:  PANTUN NASIHAT

Pantun
Maksud Pantun
Tanam balik buah peria,
Buah peria mahal sekali;
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jangan sekali.

Rangkap 1   Jika hendak membuat pekerjaan yang baik, janganlah berlebih- lebihan sehingga tidak kena pada tempatnya, dan pekerjaan yang jahat hendaklah dihindarkan sama sekali.

Ketua-ketua raja duduk,
Jangan ditimpa pagan;
Diketahui ganja itu mabuk,
Apakah sebab maka dimakan?

Rangkap 2 Sesuatu yang haram dan memabukkan hendaklah tidak diambil sama sekali.

Meninjau berpadi masak,
Batang kapas bertimbul jalan;
Hati risau dibawa gelak,
Bagai panas mengandung hujan.

Rangkap 3 Jangan dibiarkan perasaan sedih dan risau berpanjangan.

Pulau di balik Pulau Gosong, Pandan di Jawa diranggungkan; Jangan kata terdorong-dorong, Badan dan nyawa menanggungkan.

Rangkap 4 tutur kata haruslah sentiasa dijaga agar kita tidak menanggung sengsara.
Hangus bertih berwarna merah,
Mari dituang ke dalam kain;
Suami yang letih usah dimarah, Kelak terbang ke bunga lain.

Rangkap 5 Seseorang isteri hendaklah mengelakkan diri daripada memarahi suami yang sedang letih kerana dikhuatiri dia akan mencari perempuan lain.
Anak Cina membawa surat,
Dari Perak langsung ke Deli;
Hidup di dunia biar beradat,
Bahasa tidak dijual beli.

Rangkap 6 hendaklah beradat ketika hidup di dunia dan bahasa itu tidak dapat dijual beli.
Pisang kelat digonggong helang,
Jatuh ke lubuk lnderagiri;
Jikalau berdagang ke rantau orang,
Baik-baik membawa diri.

(Dipetik daripada antologi Baik Budi, Indah Bahasa, Tingkatan 2, Arah Pendidikan Sdn. Bhd.)
Rangkap 7 para perantau dinasihatkan agar pandai membawa diri di tempat orang.

1.   Tema
Nasihat yang dijadikan panduan hidup kepada masyarakat agar sentiasa melakukan kebaikan. Pelanggaran norma dalam masyarakat akan membawa keburukan dalam kehidupan.

2.   Persoalan
a.   Sentiasa melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan.
b.   Melakukan perbuatan haram akan membawa kemudaratan.
c.   Perasaan sedih dan risau tidak boleh dibiarkan berpanjangan.
d.   Berhati-hati mengucapkan tutur kata kerana jika tersilap berkata-kata buruk padahnya.
e.   Persefahaman antara suami dengan isteri mampu menjamin kebahagiaan rumah tangga.
f.     Budi bahasa amat penting dalam hidup bermasyarakat.
g.   Adat orang merantau mestilah pandai membawa diri di tempat orang.

3.   Bentuk
a.   Pantun ini terdiri daripada tujuh rangkap.
b.   Bilangan baris pada setiap rangkap adalah sama iaitu empat baris satu rangkap.
c.   Ada pembayang dan maksudnya.
d.   Jumlah suku kata dalam pantun ini antara tujuh hingga sebelas suku kata.
e.   Pantun ini berbentuk terikat.
4.   Unsur Bunyi
(a)  Asonansi.
Contohnya, • Batang kapas bertimbal jalan  (perulangan vokal a);
• Hangus bertih berwarna (perulangan vokal e);
(b)  Aliterasi.
Contohnya, • Buat baik berpada-pada   (perulangan konsonan b);
• Hidup di dunia biar beradat  (perulangan konsonan d).
5.   Gaya Bahasa
Anafora (perulangan kata pada awal baris).
Buat baik berpada-pada, Buat jahat jangan sekali.
Inversi.
Buat jahat jangan sekali;

Penggunaan unsur alam.
buah peria; padi; kapas; panas; hujan; pulau;
Repetisi.
buah peria (rangkap 1, baris 1 dan 2)
Simile.
Bagai panas mengandung hujan.


6.   Nilai dan Pengajaran

Nilai
Pengajaran
Nilai baik hati.
Kita hendaklah sentiasa melakukan kebaikan dan menjauhkan diri daripada melakukan kemungkaran.
Nilai rasional.
Kita mestilah mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang haram supaya hidup kita tidak binasa.
Nilai ketabahan
Kita hendaklah tidak terlalu bersedih dengan dugaan yang menimpa diri kerana perbuatan tersebut akan memudaratkan diri sendiri.
Nilai berhati-hati.
Kita mestilah berhati-hati dengan tutur kata supaya diri kita terhindar daripada sebarang bencana.